JABATAN KEHAKIMAN SYARIAH PAHANG

PENGENALAN PROJEK KIK JKSP (FAWiHA)

LOGO MAXIMUSFAWiHA adalah kata singkatan daripada perkataan faraid & wali hakim. FAWiHA merupakan suatu kaedah penyelesaian kes dengan kadar segera yang diperkenalkan oleh Kumpulan Inovatif & Kreatif (KIK) Jabatan Kehakiman Syariah Pahang iaitu Pasukan eMaximus. Tinjauan dan soal selidik telah dibuat oleh pasukan Kumpulan Inovatif & Kreatif (KIK) Jabatan Kehakiman Syariah Pahang sebelum ini dan hasil tinjauan mendapati, suatu kaedah penyelesaian kes dengan segera perlu difikirkan terutamanya bagi Permohonan Sijil Faraid dan Permohonan Wali Hakim yang tidak melibatkan perbicaraan panjang serta berpotensi untuk diselesaikan dengan seberapa segera demi kemaslahatan masyarakat Islam di Negeri Pahang khususnya.

Pelaksanaan FAWiHA ini tentunya memainkan peranan dalam menjimatkan masa, kos, tenaga dan memudahkan urusan masyarakat yang berurusan di Mahkamah kerana tidak perlu menunggu lama untuk menyelesaikan proses permohonan di Mahkamah. Proses penyelesaian bagi kedua-dua kes tersebut ada yang mengambil masa sehingga lebih 30 hari daripada hari pendaftaran kes sehinggalah perintah Mahkamah dikeluarkan. Dengan adanya proses ini, kes dapat diselesaikan dengan lebih cepat iaitu dalam tempoh 1 hari ke 7 hari sahaja dari masa pendaftaran kes sehingga perintah Mahkamah dikeluarkan.

Pelaksanaan kaedah FAWiHA ini adalah dijalankan secara in-house di Jabatan Kehakiman Syariah Pahang iaitu melibatkan semua Mahkamah Syariah daerah yang mempunyai Pendaftar bagi melaksanakan semua proses kerja yang ditetapkan. Untuk permulaan pelaksanakan FAWiHA ini adalah melibatkan 2 Mahkamah Tinggi Syariah iaitu Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan dan Mahkamah Tinggi Syariah Bentong serta 7 Mahkamah Rendah Syariah iaitu Mahkamah Rendah Syariah Kuantan, Mahkamah Rendah Syariah Bentong, Mahkamah Rendah Syariah Temerloh, Mahkamah Rendah Syariah Cameron Highlands, Mahkamah Rendah Syariah Pekan, Mahkamah Rendah Syariah Maran dan Mahkamah Rendah Syariah Jerantut.

Inisiatif yang diambil ini adalah suatu bentuk inovasi yang memberi kebaikan yang besar kepada sistem perundangan dan kehakiman syariah khususnya di Negeri Pahang, sekaligus memberi keadilan kepada semua pihak dan menjamin perkhidmatan yang terbaik, cepat, efektif dan efisien selari dengan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong semasa Majlis Perasmian Kompleks Syariah Al-Sultan Abdullah pada 5 September 2022 yang lalu. Diharapkan keberkesanan kaedah ini kelak boleh digunapakai oleh semua Mahkamah Syariah di seluruh Malaysia.

PENGENALAN KUMPULAN INOVATIF DAN KREATIF (KIK)

LATAR BELAKANG

  • Kerajaan memandang serius usaha penambahbaikan penyampaian perkhidmatan agensi Kerajaan dengan matlamat agar perkhidmatan yang disampaikan sentiasa memenuhi kehendak dan harapan pelanggan.
  • Selaras dengan perubahan persekitaran yang dinamik serta kehendak pelanggan dan pihak berkepentingan yang semakin meningkat memerlukan agensi sentiasa menambah baik kualiti penyampaian perkhidmatan maka Kerajaan pada tahun 2009 telah menggantikan Panduan Mengenai Kumpulan Meningkat Mutu Kerja (KMK) kepada Panduan Mengenai Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK).
  • Oleh itu, Panduan Pembudayaan dan Pemerkasaan dalam Sektor Awam Melalui Horizon Baharu Kumpulan Inovatif dan Kreatif diterbitkan sebagai peneraju agenda transformasi negara yang bersifat inovatif dan kreatif melalui terjemahan penjanaan idea baharu dan membawa perubahan berimpak tinggi berteraskan kecekapan dan keberkesanan.

TAKRIFAN INOVASI

  • Suatu pembaharuan atau perubahan untuk menghasilkan produk atau perkhidmatan yang lebih baik dan menyampaikan nilai baharu kepada pelanggan.
  • Sesuatu ciptaan yang memberi manfaat nyata dan nilai tambah kepada keadaan sedia ada boleh dikategorikan sebagai inovasi.

PENGERTIAN INOVASI MENURUT PAKAR

Kuniyoshi Urabe
Merupakan setiap kegiatan tidak boleh dihasilkan satu kali pukul, melainkan suatu proses yang panjang dan kumulatif, meliputi banyak proses pengambilan keputusan, mulai dari penemuan idea hingga ke implementasiannya di pasaran.

Van de Ven, Andrew H.
Pembangunan dan pelaksanaan gagasan-gagasan baru oleh orang dalam jangka waktu tertentu yang dilakukan dengan pelbagai aktiviti transaksi di dalam carta organisasi tertentu.

Everett M. Rogers
Mendefinisikan bahawa inovasi adalah suatu idea, gagasan, amalan atau objek / benda yang disedari dan diterima sebagai suatu hal yang baru oleh seseorang atau kumpulan untuk diterima pakai.

PENGERTIAN  KREATIVITI

  • Kreativiti ialah kebolehan atau keupayaan untuk mencipta, mewujud dan menghasilkan sesuatu yang baru atau alam bentuk baru melalui kemahiran imaginasi.
  • Keupayaan berfikir yang dapat melahirkan idea baru yang unik dan menarik
  • Keupayaan berfikir secara kritikal dan membuat penilaian secara analitikal terhadap idea dan seterusnya mengemukakan cadangan penyelesaian
  • Keupayaan berfikir secara praktikal yang dapat menterjemahkan idea dan teori kepada bentuk aplikasi
  • Kreativiti merupakan proses seseorang individu sebagai hasil kemampuan dan kesempatan peribadinya serta dalam interaksinya dengan lingkungannya akan mencari produk baru atau original yang memadai untuk situasi yang bersangkutan.
  • Terdapat dua (2) jenis utama kreativiti iaitu kreativiti inuitif dan kreativiti analitik
  • Kreativiti intuitif adalah jenis kreativiti yang terjadi secara spontan melalui penambahbaikan.
  • Kreativiti analitik pula adalah apa yang digunakan yang telah dirancang untuk tujuan yang telah ditetapkan
  • OUTCOME 
    Merujuk kepada hasil yang diperoleh daripada perlaksanaan projek KIK dalam jangka masa pendek
  • Impak
    • Merujuk kepada kesan daripada pelaksanaan projek KIK dalam tempoh jangka masa panjang
  • Pemboleh daya
    • Merujuk kepada faktor-faktor yang berupaya menggerakkan sesuatu untuk berfungsi dengan baik

OBJEKTIF

  • Menekankan konsep pengurusan secara kemanusiaan yang menekankan aspek modal insan dan konsep pengurusan secara penyertaan tanpa mengira kedudukannya dalam organisasi diberi peluang untuk memberi sumbangan yang bermakna kepada organisasi;
  • Merupakan satu mekanisme yang melibatkan pekerja dalam proses penyelesaian masalah atau penambahbaikan proses kerja dan standard yang sedia ada atau memperkenalkan sesuatu yang baru;
  • Menerapkan konsep knowledge-based dan creativity-driven bagi membolehkan organisasi menghasilkan inovasi yang memberi nilai tambah kepada produk atau perkhidmatan;
  • Memberi tumpuan kepada idea, pembelajaran, perkongsian ilmu dan penciptaan nilai menerusi strategi pengenalpastian dan penyelesaian masalah, teknik-teknik penganalisisan serta penghasilan idea-idea baru yang kreatif dan inovatif; dan
  • Meningkatkan kecekapan agensi sektor awam dalam meningkatkan keberkesanan penyampaian perkhidmatan agensi sektor awam dan memelihara kesejahteraan rakyat
  • Produk akhir KIK menjurus kepada penghasilan output berkualiti yang dapat dinikmati dengan ketara dan secara meluas. Dengan itu, impak dan sumbangan KIK terhadap pertumbuhan dan pengukuhan ekonomi negara akan lebih berkesan