
YAA Dato’ Sri Haji Abdul Rahman bin Md Yunos dilahirkan di Kg. Kuala Bera, Pahang Darul Makmur pada 7hb Mei 1956 bersamaan 26 Ramadhan 1375H. Beliau merupakan anak sulung daripada 3 orang adik beradik. Berkahwin dengan Noriah binti Yusoh pada 1984 dan dikurniakan 5 orang cahayamata, 3 lelaki dan 2 perempuan. Mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Kuala Bera pada tahun 1963 sehingga 1968. Mendapat tawaran belajar di Sekolah Abu Bakar Temerloh (ABS) pada tahun 1969 tetapi atas kehendak Ayah dan Ibu supaya belajar di Sekolah Agama maka beliau di hantar ke Pondok dan Sekolah Agama Rakyat Ittifaqiah Kg. Guai Temerloh dari tahun 1969 sehingga 1972. Pada tahun 1972 pernah dilantik sebagai ketua murid.
Kemudian beliau menyambung pelajaran ke tingkatan 5 di Sekolah Menengah Agama Al-Khairiah, Temerloh pada tahun 1973 dan memperoleh Sijil Menengah Agama. Pada tahun 1973 juga beliau dilantik sebagai Pengawas Sekolah. Selanjutnya beliau menyambung pengajian di Kuliah Lughah Waddin Sultan Abu Bakar Pekan pada tahun 1974 sehingga 1976 untuk mengambil Sijil Pelajaran Malaysia dan Sijil Tinggi Ugama.
Semasa di Kuliah Sultan Abu Bakar Pekan beliau memegang jawatan sebagai Ketua Kebajikan Asrama Putra, Pengawas Perpustakaan, Setiausaha Badan Dakwah dan Ilmiah dan mewakili sekolah dalam bahas Bahasa Arab dan Bahasa Malaysia. Beliau bercita-cita hendak melanjutkan pelajaran ke Universiti Al-Azhar Mesir sebaik mendapat Sijil Tinggi Ugama Negeri Pahang dengan dengan mendapat pangkat B+. Oleh kerana pada tahun 1977 biasiswa tidak dikeluarkan maka beliau terpaksa menyambung pengajian ke Yayasan Pengajian Tinggi Islam Kelantan Nilam Puri Kelantan pada tahun 1977 sehingga 1980 dalam fakulti Syariah dan Undang-Undang. Di YPTIK Nilam Puri, beliau aktif dalam persatuan pelajar sebagai Ketua Pelajar Pahang, Pengerusi Badan Dakwah dan Timbalan Presiden Persatuan Siswa YPTIK Nilam Puri Kelantan.
Sebaik sahaja tamat tahun 3 di YPTIK, pada tahun 1980 beliau mendapat biasiswa Kerajaan Pahang untuk melanjutkan pelajaran di tahun 4 di Universiti Al-Azhar pada sesi 1981-1982 dalam bidang Syariah dan Undang-Undang. Di Mesir beliau aktif dalam Persatuan Melayu Mesir dan memegang jawatan sebagai Ketua Biro Penerangan dan Dakwah. Sebaik selesai belajar dan mendapat Ijazah Sarjana Muda Syariah dan Undang-Undang pada tahun 1982, beliau menunaikan fardhu haji dan seterusnya pulang ke Malaysia.
Beliau Memulakan kerjaya sebagai guru Agama dan guru Bahasa Arab di Sekolah Menengah Agama Berhala Gantang selama setahun dan pada pertengahan tahun 1984, Beliau mendapat tawaran menjadi Qadhi dan ditempatkan di Cameron Highland, Pahang. Pada tahun 1987 beliau ditukarkan ke Kuala Lipis. Semasa menjadi Qadhi di Kuala Lipis, beliau telah menyambung pelajaran di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) untuk memperolehi Diploma Undang-Undang dan Pentadbiran Kehakiman Islam selama setahun bagi sesi 1989-1990. Pada tahun 1992 beliau ditukarkan ke Pekan, Pahang sebagai Qadhi Daerah Pekan dan memangku jawatan Qadhi Besar Pahang. Beliau juga telah mengikuti kursus Bahasa Inggeris di Muslim College London pada tahun 1994. Berikutan perpisahan Mahkamah Syariah dari Jabatan Agama Islam, maka pada bulan November 1995 beliau dilantik oleh KDYMM Sultan Pahang sebagai Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Negeri Pahang dan pada tahun 2012 beliau menerima tauliah pelantikan sebagai ketua Hakim Syarie Pahang sehingga kini.
Di antara jawatan yang disandang semasa beliau menjadi Qadhi ialah YDP ABIM Daerah, Pengerusi PERKIM Daerah, AJK Persatuan Ulamak, AJK Persatuan Bekas Mahasiswa Timur Tengah, Pengerusi PIBG, Pengerusi Persatuan Pegawai Agama Pahang dan Pengerusi Masjid-Masjid Daerah. Di antara Sumbangan di dalam Organisasi kini, Beliau merupakan Pengerusi Panel Hakim Mahkamah Rayuan Syariah Negeri Pahang, Beliau turut dilantik sebagai Panel Hakim Mahkamah Rayuan Syariah Negeri Terengganu bagi tahun 2017-2020, Ahli tetap Persatuan Pegawai Syariah Malaysia, Ahli JawatanKuasa Perundingan Hukum Syarak Negeri Pahang, Ahli JawatanKuasa Induk Arahan Amalan Mahkamah Syariah Malaysia, dan juga Ahli Jawatankuasa Teknikal Undang-undang Syariah Negeri Pahang.
Di Antara sumbangan bagi aktiviti luar dan kemasyarakatan, beliau terlibat sebagai Ahli Jawatankuasa Persatuan Ulama Negeri Pahang dari tahun 1986 sehingga kini, Ahli Jawatankuasa Persatuan Alumni Al-Azhar bermula tahun 2017, dan beliau merupakan Penasihat Pondok Perdana Negeri Pahang dari tahun 2016 sehingga kini. Beliau juga pernah menjadi penceramah di Radio Malaysia Pahang pada tahun 1992 sehingga tahun 2008 dengan tajuk antaranya berkenaan Ibadat, Munakahat, dan Isu-isu perundangan.
Beliau juga menjadi penasihat dan panel “Mock Trial” bagi pelajar Fakulti Syariah dan Undang-undang di Universiti Sains Islam Malaysia(USIM) pada tahun 2005 dan tahun 2006. Beliau juga aktif membentang kertas kerja dan juga ceramah berkaitan dengan Undang-undang Syariah di Universiti Malaya (UM), Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS). Atas khidmat bakti beliau yang cemerlang di Negeri Pahang, maka KDYMM Sultan Pahang telah mengurniakan Pingat Khidmat Cemerlang (PKC) pada tahun 1991, Setia Mahkota Pahang (SMP) pada tahun 1997 dan Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Dato’ pada tahun 2005. Beliau juga mendapat Anugerah Cemerlang pada tahun 1995 dan tahun 2007.
Terbaru, Bersempena ulang tahun hari keputeraan yang ke-87 ke bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang pada 24 Oktober 2017, telah mengurniakan darjah kebesaran Sultan Ahmad Shah Pahang Yang Amat Di Mulia-Peringkat Pertama, Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) yang membawa gelaran Dato’ sri kepada beliau