JABATAN KEHAKIMAN SYARIAH PAHANG

SEJARAH
PERUNDANGAN ISLAM DI NEGERI PAHANG

Kewujudan Enakmen Pentadbiran Agama Islam di Negeri Pahang Darul Makmur adalah disebabkan oleh wujudnya orang-orang Islam di negeri ini. Berdasarkan catatan sejarah, sebelum tahun 1457M, penduduk Negeri Pahang Darul Makmur tidak jelas sama ada mereka telah menganut agama Islam atau pun tidak kerana Pahang telah dikuasai oleh Maharaja Dewasura, iaitu wakil Kerajaan Siam di Pahang yang beragama Buddha tetapi setelah Sultan Mansur Shah, Sultan Melaka mengambil langkah untuk menyerang Negeri Pahang dan telah berjaya mengalahkan Pahang sehingga berada di bawah taklukan Melaka, ini bererti seluruh Negeri Pahang Darul Makmur beragama Islam. Hal ini demikian kerana kuasa pemerintahan dipegang orang Islam Melaka, kira-kira 150 tahun lamanya Negeri Pahang diperintah oleh Raja Melayu Islam berketurunan daripada Raja Melayu Melaka.

 

Jika perjumpaan kesan-kesan sejarah seperti batu nisan, batu bersurat dan bukti lain yang dijadikan asas pertapakan Agama Islam di Semenanjung Emas ini, maka Negeri Kedah la dikatakan negeri yang terawal menerima Islam. Penemuan Batu Nisan kepunyaan Syeikh Abd Kadir (keturunan Parsi) di Tanjung Aris Langgar pada tahun 1962 adalah bukti nyata mengenai hal tersebut. Tarikh yang tertera adalah antara (tidak dapat dipastikan) 29H atau 290 H, jika 29H bersamaan 651M dan jika 290H bersamaan 920M, dan di nisan tersebut tertera Kalimah Syahadah serta beberapa tulisan Arab.

 

Jika berdasarkan bukti yang sama, di Negeri Pahang pula pada Jun 1953, terdapat satu penemuan batu nisan di kampung Permatang Pasir Nenasi Pekan, Pahang. Batu nisan ini dihiasi dengan ayat Al-Quran dan syair Arab serta tercatat juga tarikh kematian si pemiliknya iaitu pada Hari Rabu bersamaan 14 Rabi’ulawal 419H. Hal ini bermakna batu nisan tersebut adalah lebih lama daripada Batu Bersurat Terengganu (702H), wang emas (dinar) lama Kelantan (577H), dan juga kemunculan agama Islam dahulu lebih 300 tahun sebelum kewujudan Kerajaan Melaka.

PEMERINTAHAN MELAYU ISLAM DI NEGERI PAHANG

Secara ringkasnya, sebelum tahun 1457M, status agama penduduk Pahang tidak dapat dipastikan kerana berdasarkan beberapa catatan sejarah pada waktu itu, Pahang dikuasai oleh Maharaja Dewasura iaitu wakil Kerajaan Siam. Agama Islam tersebar luas sebaik sahaja Pahang menjadi sebahagian daripada jajahan takluk Kerajaan Melayu Melaka. Pada ketika itu, Sultan Mansur Shah telah menghantar angkatan perang sebanyak 200 buah kapal ke Pahang, dan armada perang diketuai oleh Tun Perak sendiri pada tahun 1459.

 

Pertempuran telah berlaku di Pura, dan akhirnya Maharaja Dewa Sura telah dikalahkan serta puterinya Wanan telah ditawan dan dibawa ke Melaka. Kemudian, Sultan mengahwini puteri tersebut dan namanya ditukarkan kepada Puteri Lela Wangsa. (Ibid:105) Tun Hamzah Seri Bija diRaja, dititahkan berada di Pahang sehinggalah Tun Muhammad (anak Sultan MS/Puteri Lela Wangsa diusir disebabkan satu kes bunuh) ditabalkan dengan Tun Hamzah menjadi Bendahara. Tun Muhamad menaiki takhta (Sultan Pertama beragama Islam) pada tahun 1470M. Pemerintahan Negeri Pahang adalah berasaskan Undang-Undang Islam (1584) Hukum Qanun Pahang (1610-1614).

 

Keadaan politik semasa mempengaruhi banyak perkara di negeri Pahang, seperti sekitar awal hingga pertengahan kurun ke-17M, Pahang telah diancam dan diserang oleh Aceh, Johor, dan Belanda sehingga Pahang pernah berada di bawah taklukan Aceh. Apabila pengaruh Aceh lemah, Pahang pula dikuasai oleh Johor. Bermula suku pertama kurun ke-18M (bawah penguasaan Johor) pemerintahan Pahang dikendalikan oleh seorang Bendahara. Setelah Belanda dan British mula menguasai dan memecahbelahkan wilayah Kerajaan Johor-Riau-Lingga-Pahang, bermulalah penguasaan sepenuhnya Bendahara memerintah Pahang. Namun, tidak lama kemudian berlaku perang saudara (1857-1863) yang akhirnya menyebabkan Pahang dapat dikuasai oleh Bendahara Wan Ahmad lalu menyandang gelaran DYMM Sultan, seterusnya membentuk kesultanan baru di Pahang hingga ke hari ini.

 

PENUBUHAN MAHKAMAH SIVIL

PENUBUHAN MAHKAMAH SIVIL
Dari segi Undang-undang, didapati Undang-undang digubal dengan menggunakan kuasa mengikut perjanjian dengan DYMM Sultan. Pada akhir Kurun ke-19 dan awal kurun ke-20, didapati beberapa Undang-undang ini dicontohi dari India seperti Undang-undang Jenayah. Hakim-hakim yang dilantik ialah mereka yang telah menerima latihan daripada orang Inggeris dan mereka ini tidak mengetahui Undang-undang Islam dan Adat Melayu. Dengan penggubalan Undang-undang baru dan tertubuhnya Mahkamah Sivil ini, maka bidang kuasa yang ada pada Mahkamah Syariah amat terhad sekali.

 

KUASA MAHKAMAH SYARIAH TERBATAS
Jika dilihat dalam kandungan surat kuasa pelantikan Qadhi Besar/Qadhi pada tahun 1921, seseorang Qadhi Besar itu hanyalah terhad untuk membicarakan kepada perkara-perkara Mal seperti: Mas Kahwin, Tuntutan Cerai, Fasakh, Tebus Talak dan Harta Sepencarian tetapi tidak diberi kuasa membicarakan kes-kes sivil kecuali mereka yang melanggar Undang-Undang Negeri yang kesalahannya boleh didenda setakat RM10.00 sahaja. Kesalahan yang lebih besar hendaklah dimaklumkan kepada Mahkamah Majistret.

 

Qadhi turut tidak diberi kuasa untuk menahan, menangkap atau mengeluarkan waran tangkap. Walau bagaimanapun, sekiranya melibatkan keputusan perbicaraan yang tidak dipatuhi, Qadhi boleh menghantar kepada Mahkamah Majistret supaya hukuman itu dilaksanakan.

 

Qadhi juga dikehendaki menghantar wang denda kepada perbendaharaan kerajaan, menghantar laporan kes ke Pejabat DYMM Sultan setiap akhir bulan, dan Qadhi turut diminta menjalankan pentadbiran biasa serta membuat lawatan di dalam daerahnya untuk memberi nasihat terhadap hal-hal yang berkaitan dengan Agama selain daripada tugasnya sebagai seorang Pegawai Kerajaan. Selain itu, Qadhi diminta untuk menjaga hukum-hukum Islam serta Undang-Undang Negeri dan Istiadat. Di samping itu, amaran pelucutan jawatan juga diberi sekiranya berlaku penyalahgunaan kuasa sebagai Qadhi.

 

UNDANG-UNDANG PENTADBIRAN AGAMA ISLAM

Sejak British campur tangan dalam pemerintahan Negeri Pahang, beberapa Undang-Undang Islam telah dibuat dan dikenali dengan Undang-Undang FMS. Undang-Undang Islam yang pertama ialah Undang-Undang Bil 2 tahun 1904 termasuk Undang-Undang Mahkamah FMS chapter 2, Undang-Undang Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu FMS chapter 196, pendaftaran Undang-Undang Perkahwinan dan Perceraian bagi orang-orang Islam FMS chapter 167, kemudiannya digubal pula Undang-Undang yang dinamakan Undang-Undang Pahang Bil. 6 Tahun 1937, iaitu undang-undang (kesalahan) bagi orang-orang Islam serta, Undang-Undang FMS yang terdahulu.

 

Pada tahun 1949, satu Undang-Undang Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu telah dibuat dan dikenali sebagai Undang-Undang Bil. 5 Tahun 1956 dan yang terakhir adalah satu lagi enakmen untuk meminda dan menyatukan undang-undang, mengatur dan mentadbir hal ehwal Agama Islam serta menubuhkan satu majlis untuk menolong dan menasihatkan KDYMM Sultan dalam semua perkara mengenai Agama Negeri dan Adat Resam Melayu Pahang. Undang-Undang ini dikenali sebagai Enakmen No.8 tahun 1982 dan berkuatkuasa sehingga kini. Enakmen ini telah membatalkan kesemua Enakmen Pahang No.5 tahun 1956 iaitu Enakmen Tadbir Agama Islam tahun 1956 dan juga membatalkan kesemua Enakmen Pahang No.2 tahun 1960 serta Enakmen Tadbir agama Islam (pindaan) tahun 1963.

KUASA YANG ADA PADA MAHKAMAH SYARIAH

Merujuk kepada surat kuasa pelantikan Qadhi Besar dan Qadhi pada tahun 1921, maka kuasa yang diberi kepada Mahkamah Syariah ialah dalam kes Mal yang membicarakan kes-kes nikah perempuan yang tiada wali, kes-kes cerai seperti Taklik, Fasakh, Tebus Talak, Harta Sepencarian dan Tuntutan Mas kahwin. Dan bagi Kes Jenayah pula, merangkumi kesalahan-kesalahan kecil yang melanggar Undang-undang Negeri yang hanya dendanya RM10.00 sahaja. Qadhi tiada di beri kuasa untuk menahan, menangkap atau mengeluarkan waran tangkap.

 

Manakala Undang-undang Pahang Bil 6 tahun 1937 menyatakan, kesalahan-kesalahan yang dilakukan oleh orang Islam akan dibicarakan samaada di Mahkamah Penghulu, Mahkamah Qadhi, Mahkamah Majistret atau Mahkamah Tinggi. Kesalahan tidak hadir solat jumaat, akan dibicarakan di Mahkamah Penghulu, kesalahan bagi melarikan anak dara dan khalwat  dibicarakan di Mahkamah Majistret, kes zina di Mahkamah Tinggi dan kesalahan-kesalahan seperti makan di khalayak ramai di bulan Ramadhan, akan dibicarakan samaada di Mahkamah Penghulu, Mahkamah Qadhi atau di Mahkamah Majistret.

 

Bagaimanapun apabila Undang-Undang Pahang Bil.5 tahun 1956 dibuat, maka jelaslah bahawa bidangkuasa untuk  membicarakan kes-kes Mal dan Jenayah diberikan khusus kepada Mahkamah Qadhi atau Mahkamah Qadhi Besar sahaja. Juga telah digariskan cara-cara pelantikan Qadhi dan Qadhi Besar, perbicaraan dan Mahkamah UlangBicara. Dengan adanya Undang-Undang baru ini, maka bangunan Mahkamah Syariah mula didirikan disetiap daerah Qadhi.

 

Pada tahun 1984, Parlimen telah meluluskan tambahan kuasa hukuman kepada Mahkamah Syariah dengan menaikkan denda maksima sebanyak RM 5000, penjara tiga tahun dan rotan sebanyak enam kali sebatan. Berikutan itu, badan Perundangan Negeri pada tahun 1987 telah meluluskan pindaan kepada Enakmen Pentadbiran Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Pahang 1982 dengan menaikkan kadar denda, penjara dan rotan bagi kes-kes yang berat dan serius. Apabila Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Islam Pahang diluluskan pada 28hb November 1991 oleh Dewan Undangan Negeri dan berkuatkuasa mulai 1 Januari 1992, maka disini bermulalah detik-detik perubahan kepada Mahkamah Syariah. Dulunya mahkamah-mahkamah ini dikenali dengan Mahkamah Qadhi Daerah, Mahkamah Qadhi Besar dan Mahkamah Ulangbicara, tetapi pada masa kini, mahkamah-mahkamah tersebut telah bertukar kepada Mahkamah Rendah Syariah, Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah Rayuan Syariah.

 

Bidangkuasa perbicaran kes Mal dan Jenayah Mahkamah Rendah dan Mahkamah Tinggi Syariah juga turut berubah. Mahkamah Rendah Syariah dalam bahagian Mal diberi kuasa membicarakan kes-kes yang tidak melebihi seratus ribu ringgit atau yang tidak dapat dianggarkan dengan wang, manakala dalam kes jenayah pula kesalahan-kesalahan yang mana hukuman maksimum yang di peruntukkan tidak melebihi tiga ribu ringgit atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya. Bagi Mahkamah Tinggi Syariah pula, kuasa yang diberi adalah menyeluruh dalam bidang kuasa Mal. Manakala bidang kuasa Jenayah pula membicarakan semua tindakan serta kesalahan yang diperuntukkan di bawah undang-undang lain yang memberi bidangkuasa kepada Mahkamah Syariah untuk membicarakan apa-apa kesalahan dan boleh mengenakan apa-apa hukuman yang diperuntukkan di dalamnya.

 

Begitu juga dengan gelaran Qadhi dan Qadhi Besar telah di gantikan dengan sebutan Hakim Mahkamah Rendah dan Hakim Mahkamah Tinggi. Manakala kedudukan jawatankuasa Ulangbicara dikenali dengan ‘ Panel Hakim-Hakim Mahkamah Rayuan Syariah ‘ dan dipengerusikan oleh Yang Amat Arif Ketua Hakim Syarie. Dari segi rayuan, dulunya boleh dibuat terus daripada Mahkamah Qadhi atau Mahkamah Qadhi Besar kepada Mahkamah Ulangbicara. Namun sekarang rayuan daripada Mahkamah Rendah Syariah akan di buat oleh Mahkamah Tinggi Syariah dan sesuatu rayuan terhadap keputusan yang di buat oleh Mahkamah Tinggi Syariah akan di buat kepada Mahkamah Rayuan Syariah.Antara enakmen yang diguna pakai di Mahkamah Syariah Negeri Pahang adalah :-

  • Enakmen Pentadbiran Ugama Islam & Adat Resam Melayu Pahang 1982 (Pindaan 1987).
  • ( Enakmen No 8 Tahun 1982)
  • Enakmen Pentadbiran Undang-undang Islam 1991.
  • Enakmen Undang-undang Keluarga Islam 2005.
  • (Enakmen 3) Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah 2005.
  • Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah 2002. (Enakmen No 9 Tahun 2002)
  • Enakmen Tatacara Jenayah Syariah 2002. (Enakmen No 8 Tahun 2002)
  • Kaedah-kaedah Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Fi, Elaun dan Kos) 2005.
  • Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 2013 (Enakmen 11).
ENAKMEN YANG DIGUNA PAKAI
 
 
PENUBUHAN JABATAN KEHAKIMAN SYARIAH PAHANG

Secara rasminya, Jabatan Kehakiman Syariah Pahang telah ditubuhkan pada 19 Januari 1995 yang sebelum itu lebih dikenali sebagai Mahkamah Qhadi di Jabatan Agama Islam Pahang. Dengan penubuhan tersebut, ianya terpisah daripada pentadbiran Jabatan Agama Islam Pahang dan mempunyai struktur organisasinya sendiri. Beribu pejabat di Kuantan, Pahang.

 

Penubuhan Mahkamah Syariah diperuntukkan di bawah Seksyen 42 Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Islam No.3 Tahun 1991. Jabatan  Kehakiman Syariah diletakkan di bawah pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang (SUK) dan diketuai oleh Yang Amat Arif (YAA) Ketua Hakim Syarie. Ketua Hakim Syarie juga  bertindak sebagai Pengerusi Panel Hakim Rayuan Syariah. 

 

Kini, di bawah pengawalannya terdapat tiga orang Hakim Mahkamah Tinggi Syariah, seorang Ketua Pendaftar Mahkamah Rayuan Syariah,  dan 11 orang Hakim Mahkamah Rendah Syariah. Bagi melancarkan proses dan kemudahan kepada orang ramai,  Jabatan Kehakiman Syariah Pahang mempunyai Mahkamah Rendah Syariah hampir di semua daerah dalam negeri Pahang yang dahulunya dibahagikan kepada lima (5) wilayah iaitu:

Wilayah 1: Mahkamah Rendah Syariah Kuantan & Maran.

Wilayah 2: Mahkamah Rendah Syariah Pekan, Rompin & Mu’adzam Shah.

Wilayah 3: Mahkamah Rendah Syariah Temerloh & Chenor.

Wilayah 4: Mahkamah Rendah Syariah Bentong & Cameron Highlands.

Wilayah 5: Mahkamah Rendah Syariah Jerantut, Raub & Kuala Lipis.

 

Namun kini, Mahkamah Rendah Syariah tidak lagi dipecahkan kepada wilayah-wilayah seperti sebelumnya. Kini, Pengisian Hakim-hakim Daerah seluruh negeri Pahang telah terlaksana dan setiap Mahkamah Rendah Syariah daerah diketuai oleh seorang Hakim Syarie, ini termasuklah empat daripadanya terdiri daripada Hakim Syarie wanita iaitu di Mahkamah Rendah Syariah Pekan, Maran, Raub dan juga Temerloh.

 

SEJARAH PENUBUHAN JABATAN KEHAKIMAN SYARIAH PAHANG

Jabatan Kehakiman Syariah Pahang juga mempunyai tiga Mahkamah Tinggi Syariah yang terletak di Kuantan (dahulunya dikenali sebagai Mahkamah Tinggi Syariah Pahang), Bentong (dikenali sebagai Mahkamah Tinggi Syariah Bentong) dan yang terbaru adalah di Temerloh (dikenali sebagai Mahkamah Tinggi Syariah Temerloh) yang kini beroperasi di Mahkamah Rendah Syariah Maran disebabkan belum mempunyai bangunannya yang khusus setelah diluluskan perjawatan Hakim Mahkamah Tinggi Temerloh dan memulakan pengoperasiannya pada tahun awal tahun 2020.

 

Jabatan Kehakiman Syariah Pahang mempunyai satu Mahkamah Rayuan yang akan menjalankan sebutan dan perbicaraan bagi kes-kes rayuan di seluruh negeri Pahang yang bermula dari Mahkamah Tinggi Syariah. Dari segi Hierarki, Mahkamah Rayuan Syariah Pahang adalah mahkamah tertinggi yang akan diputuskan oleh Panel Rayuan yang dilantik. Tiada lagi rayuan yang boleh dibuat selepas Mahkamah Rayuan Syariah ini.

 

Kesimpulannya, penubuhan Mahkamah Rayuan Syariah, Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah Rendah Syariah di setiap daerah yang mempunyai struktur organisasi tersendiri ini amatlah penting. Hal ini kerana segala urusan yang berkaitan dengan perundangan Islam dan menjaga kemaslahatan umat Islam kini dapat dipermudahkan dan seterusnya menjamin agar keadilan dapat ditegakkan selaras dengan slogan  JKSP

 

“SYARIAH ASAS KEADILAN”.

LOKASI DAERAH BIDANGKUASA MAHKAMAH TINGGI SYARIAH

1. Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan

  1. Daerah Kuatan
  2. Daerah Pekan
  3. Daerah Rompin
  4. Muadzam Shah

2. Mahkamah Tinggi Syariah Temerloh

  1. Daerah Maran
  2. Daerah Temerloh
  3. Daerah Bera
  4. Daerah Jerantut
  5. Chenor

3. Mahkamah Tinggi Syariah Bentong

  1. Daerah Bentong
  2. Daerah Lipis
  3. Daerah Raub
  4. Daerah Cameron Highlands
LOKASI DAERAH BIDANGKUASA MAHKAMAH RENDAH SYARIAH

Lokasi Mahkamah Rendah Syariah Negeri Pahang:

1. Daerah Kuantan.
2. Daerah Maran.
3. Daerah Pekan.
4. Muadzam Shah.
5. Daerah Rompin.
6. Daerah Temerloh.
7. Daerah Bera.
8. Chenor.
9. Daerah Bentong.
10. Daerah Cameron Highlands.
11. Daerah Jerantut.
12. Daerah Lipis.
13. Daerah Raub.

MANTAN QADHI BESAR PAHANG (1874-1994)

HAJI IBRAHIM B. ABU HURAIRAH B. ABU HANIFAH (1874-1921)

KADI BESAR PERTAMA : Haji Ibrahim B. Abu Hurairah B. Abu Hanifah

Beliau ialah Haji Ibrahim B. Abu Hurairah B. Abu Hanifah. Berasal daripada keturunan seorang ulama yang terkenal di Pahang iaitu Imam (Tuk) Shihabudin dan susunannya seperti berikut: Kadi Ibrahim ibunya Hajjah Siti Hawa, ibunya Tok Emas, ibu Tok Emas Tok Long, bapa kepada Tok Long ialah Imam Shihabuddin. Sebenarnya tarikh dan tempat lahir beliau tidak dapat dikenal pasti dengan tepat. Akan tetapi, menurut waris beliau iaitu Hj. Salleh B. Busu (Ayah Da), beliau dilahirkan sekitar tahun 1814M di Kerdau, Temerloh. Beliau mempunyai beberapa orang isteri dan juga mempunyai 40 orang anak.Beliau menetap di tiga tempat iaitu di Berhala Gantang, Telok Sentang dan Purun. Beliau meninggal dunia pada tahun 1918M, ketika menjangkau usia 104 tahun. Beliau berkhidmat sebagai Kadi Besar selama 44 tahun. Qadhi Ibrahim dikuburkan di Kg. Pagar, Penjom Kuala Lipis, Pahang.

PENDIDIKAN
Kadi Ibrahim mula berguru dengan Tuan Guru Haji Ismail (Tok Bangau) di Kampung Bangau, Temerloh. Bagi mendalami lagi ilmu pengetahuannya, beliau meneruskan pengajiannya dengan Fakih Yusuf di Betawi, Indonesia selama 13 tahun dan di Mekah pula beliau menetap selama tiga tahun ketika berguru dengan Tuah Haji Mukhtar Atarid. Sekembalinya dari Mekah beliau sempat berguru dengan Tok Shihabuddin B. Zainal Abidin (1141-1211H) selama tiga tahun lagi. Bagi menghargai ketokohan dan keilmuan yang ada pada beliau, Sultan Pahang yang pertama iaitu Almarhum Sultan Ahmad berkenan melantik beliau sebagai Kadi Besar Pahang yang pertama pada tahun 1874.

KETOKOHANNYA
Sepanjang hayatnya, beliau banyak menghabiskan masanya di dalam perahu Jalor kerana tugasnya sebagai Kadi Besar yang terpaksa hilir mudik menyongsong arus Sungai Pahang sambil berdakwah menyampaikan ilmu Islam kepada pendudukpenduduk setempat. Perjalanan dari Pekan ke Kuala Lipis mengambil masa selama dua bulan dengan menggunakan tenaga penggalah perahu seramai 25 orang setiap kali perjalanan. Semasa beliau menjadi Kadi Besar Pahang, beliau meneruskan usaha-usaha yang telah dilakukan oleh ulama terdahulu seperti Tuk Shihabudin dan Tuan Teh untuk membasmi ajaran yang salah. Beliau juga menulis beberapa buah kitab yang menjadi bahan bacaan masyarakat Islam, antaranya seperti :

1) Syifa Al Abd’dan ( sebanyak 3 jilid ).
2) Hidayatul Al Wildan
3) Tafsir Surah Al Ikhlas

HAJI MUHAMMAD DAUD B. HAJI ZAINAL ABIDIN (1921-1953)

KADI BESAR KEDUA : Haji Muhammad Daud B. Haji Zainal Abidin
Dilahirkan pada 09/04/1876 di Kampung Mengkasar, Pekan Pahang. Sejak kecil beliau mempelajari palajaran agama melalui pembacaan kitab-kitab agama dengan Tuan Guru Haji Osman B. Haji Senik (Haji Montok) dan beberapa orang guru yang lain. Pada awalnya beliau berkhidmat sebagai Imam di Masjid Abdullah Pekan, selepas itu berkhidmat pula sebagai kadi selama beberapa tahun. Pada 03/02/1921, beliau telah dilantik sebagai Kadi Besar Pahang yang kedua. Beliau meninggal dunia pada 25/08/1955

HAJI OSMAN B. HAJI MUHAMMAD DAUD (1953-1960)

KADI BESAR KETIGA: Haji Osman B. Haji Muhammad Daud
Dilahirkan pada tahun 1905. Mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu di Bandar Pekan, kemudian menyambungkan pelajaran ke Madrasah Al-Attas, Ketapang, Pekan. Seterusnya, beliau menyambung pelajaran ke Madrasah Al-Attas Johor Bahru. Pada akhir tahun 1934, beliau menyambungkan pelajaran ke kota suci Mekah Al-Mukarramah. Beliau kembali ke tanah air pada tahun 1940. Pada tahun 1941, beliau berkhidmat sebagai Kadi di beberapa daerah seperti daerah Raub, Pekan dan Kuala Lipis. Pada 22/09/1953, beliau telah dilantik sebagai Kadi Besar Negeri Pahang sehingga beliau bersara pada 31/12/1960. Beliau telah meninggal dunia pada 18/01/1973

HAJI MUHAMMAD B. MUHAMMAD SALLEH (1971-1972)

KADI BESAR KEEMPAT : Haji Muhammad B. Muhammad Salleh
Dilahirkan pada 20/02/1906 di Kampung Bukit Nanas, Benus, Bentong Pahang. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu di Bentong dan kemudiannya mempelajari pelajaran agama di “Pondok” dalam daerah Temerloh dengan Tuan Guru Haji Muhammad B. Haji Muhammad Khatib. Setelah beberapa lama di Temerloh hingga banjir besar pada tahun 1926, beliau menyambung lagi pelajarannya ke Sekolah Arab Tamrinuddin Segamat Johor sehingga tamat pada tahun 1930. Pada tahun itu juga, beliau melanjutkan lagi pelajarannya ke Pondok di Langgar, Kedah.

 

Lebih kurang selama 11 tahun di Kedah, beliau kembali semula ke Pahang dan mengajar di Pondok Tanjung Besar, Kuala Lipis, Pahang. Tidak beberapa lama kemudian, beliau berkhidmat sebagai guru agama di Sekolah Agama pada sebelah petang untuk beberapa tahun sahaja. Pada tahun 1916 pula, beliau telah dilantik sebagai Kadi di daerah Cameron Highlands, ketika jawatan itu mula diwujudkan di daerah Cameron Highlands.

 

Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Kadi di beberapa daerah lain dan memangku jawatan Kadi di beberapa daerah seperti daerah Raub, Pekan dan Chenor pada tahun 1964. Beliau mula dilantik sebagai Kadi Besar Pahang pada tahun 1971. Selepas bersara beliau menyambung khidmatnya sebagai Kadi secara kontrak selama lima tahun di daerah Raub.

DATOʼ HAJI MUHAMMAD SIDEK B. ARIFFIN (1972-1976)

KADI BESAR KELIMA: Datoʼ Haji Muhammad Sidek B. Ariffin
Dilahirkan pada 09/11/1922 di kampung Tanjung Besar, Kuala Lipis. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Tanjung besar sehingga tamat. Kemudian beliau mempelajari ilmu agama secara ‘pondok’ di kampung Tanjung Besar dengan Tuan Guru Haji Ibrahim B. Haji Muhammad Ali. Tidak lama kemudian, beliau melanjutkan pelajarannya ke Kota Suci Mekah Al-Mukarramah di Darul Ulum pada tahun 1937 ketika berusia 14 tahun.

 

Sewaktu berada kota tersebut, beliau banyak mempelajari ilmu agama di Masjidil Haram dengan gurunya Syed Alwi dan Sheikh Abdul Kadir Mandilir serta beberapa orang guru yang lain. Beliau kembali ke tanah air pada tahun 1947 dan mula berkhidmat sebagai guru agama di Sekolah Agama Rakyat Dong, Raub. beberapa daerah lain dan memangku jawatan Kadi di beberapa daerah seperti daerah Raub, Pekan dan Chenor pada tahun 1964. Beliau mula dilantik sebagai Kadi Besar Pahang pada tahun 1971.

 

Selepas bersara beliau menyambung khidmatnya sebagai Kadi secara kontrak selama lima tahun di daerah Raub. Beliau mula dilantik sebagai Kadi pada tahun 1953 di Chenor, kemudian bertukar ke beberapa daerah lain. Pada tahun 1972, beliau dilantik sebagai Kadi Besar Pahang dan pada tahun 1976 pula, beliau dilantik pula sebagai Mufti Kerajaan Negeri Pahang sehingga tahun 1982. Setelah bersara, beliau menetap di Jerantut. Beliau merupakan salah seorang Ahli Jawatankuasa Jemaah Fatwa Negeri Pahang.

TUAN HAJI SYED ABDUL RAHMAN B. SYED MOHAMAD AL YAHYA, AMP (1979-1983)

KADI BESAR KE ENAM : Tuan Haji Syed Abdul Rahman B. Syed Mohamad Al Yahya, AMP
Dilahirkan pada 08/08/1923 di Pekan, Pahang. Beliau mendapat pendidikan awal di Madrasah Al Attas Ketapang, Pekan. Kemudian, melanjutkan pelajaran ke Singapura dan seterusnya mengajar di Madrasah Al-Qadriah dan Sekolah Al Junid di Singapura. Pada tahun 1952, beliau melanjutkan pelajaran di Rabath Trim, Hadral Maut selama enam tahun.

Beliau telah berkahwin pada tahun 1944 dan mempunyai 11 orang anak. Beliau telah kembali ke Rahmatullah ketika berusia 68 tahun pada hari Sabtu (29/06/1991) di rumahnya dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Ubi, Kuantan.

 

 

PENGALAMAN KERJA
1. Imam Masjid.
2. Guru Sekolah Arab, Kluang, Johor ( 1956 – 1960 ) selama empat tahun.
3. Kadi Daerah Raub, Pahang ( 1961 – 1971 ) selama 11 tahun.
4. Kadi Daerah Kuantan, Pahang ( 1972 – 9175 ) selama empat tahun.
5. Kadi Besar Pahang ( 1976 – 1983 ) selama lapan tahun.
KITAB YANG PERNAH DIKARANG / DISUSUN
1. Kiraah Madah ( Bacaan mengenal huruf Al-Quran dengan mudah ).
2. Risalah Iktiqad – Ahli Sunnah Wal Jamaah.
3. Risalah Fardhu Ain.
4. Peraturan Tahlil Di Makam Diraja Pahang dan Doa.
5. Risalah Puasa di Bulan Ramadhan.
6. Kitab Faraid ( menjadi salah satu mata pelajaran di Kuliah Tinggi Agama Abu Bakar, Pekan Pahang ).

 

PENGIKTIRAFAN DAN PENGURNIAAN

  1. Dihantar oleh Kerajaan Negeri Pahang sebagai guru agama di dalam kapal haji kepada bakal-bakal haji ke Mekah pada tahun 1970.
  2. Dikurniakan pingat AMP ( Ahli Mahkota Pahang ) oleh KDYMM Sultan Pahang pada tahun 1978.
  3. Pernah menjadi hakim tilawah membaca Al-Quran peringkat negeri dan kebangsaan
DATO' HAJI ABDUL MUTTALIB BIN HAJI MOHD ALI AL FAKWIE (1984-1991)

KADI BESAR KE TUJUH: Datuk Haji Abdul Mutalib B. Haji Ali Al-Fakhwie, DIMP., AMP., AMN., PJK.
Dilahirkan pada 28/11/1932 di Lubuk Paku, Maran Pahang. Mendapat pendidikan awal di Sekolah Senggora sehingga darjah lima. Pada tahun 1947, beliau melanjutkan pelajaran ke Sekolah Arab Ketapang, Pekan, Pahang. Kemudian pada tahun 1949, beliau melanjutkan lagi pelajarannya ke Kulliah Al-Lughah Waddin, Pekan. Seterusnya, beliau menyambung pelajarannya di Kolej Islam Kelang sehingga berjaya memperoleh Sijil Tinggi Kolej Islam, sebelum beliau melanjutkan pelajaran ke Universiti Al-Azhar, Mesir.

 

Pada tahun 1976, beliau pernah berkhidmat sebagai pengetua di Sekolah Menengah Agama Al-Ihsan, Kuantan dan Nadzir Sekolah Agama. Setelah beliau kembali dari Mesir pada tahun 1978, beliau dilantik sebagai Kadi Daerah Pekan. Pada tahun 1984 pula, beliau telah dilantik sebagai Kadi Besar Pahang. Seterusnya pada 01/12/1991, beliau dilantik sebagai Timbalan Yang Di Pertua Majlis Agama Islam Pahang

DATO’ HAJI SULAIMAN BIN HAJI AHMAD (1991-1994)

KADI BESAR KE LAPAN: Datoʼ Haji Sulaiman Bin Haji Ahmad.
Dilahirkan pada 8 Jun, 1950 di Kg. Tekok Sentang, Temerloh, Pahang Darul Makmur . Mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Telok Sentang, Temerloh antara tahun 1957 sehingga 1962. pada tahun 1962 sehingga tahun 1965 beliau telah melanjutkan pelajaran ke Sekolah Agama Ad-Diniah, Telok Sentang. dan Sekolah Agama Al-Wosto, Temerloh. Pada tahun 1965 sehingga 1970. Kemudia beliau melanjutkan pendidikan ke Sekolah Agama Al-Attas, Ketapang, Pekan dan melanjutkan pelajaran ke Kuliah Al-Lughah Waddin As-Sultan Abu Bakar, Pekan. Beliau telah melanjutkan pengajian Ijazah B.A. Hons (Syariah Wal-Qanun) Universiti Al-Azhar, Kaherah, Mesir antara tahun 1971 – 1975 . Akhir sekali dalam tahun 1992 – 1993 beliau mengambil Diploma Undang-Undang Pentadbiran Kehakiman Islam di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

 

PENGALAMAN KERJA

  1. 1976 – 1980 : Kadi Daerah Cameron Highlands.
  2. 1980 – 1982 : Kadi Daerah Bentong.
  3. 1982 – 1984 : Pegawai Penerangan Agama Negeri Pahang Jabatan Agama Islam Pahang.
  4. 1984 – 1986 : Ketua Pegawai Penerangan dan Dakwah Negeri Jabatan Agama Islam Pahang.
  5. 1987 – 1991 : Pegawai Hal-ehwal Agama Islam Tingkatan Kanan.
  6. 1991 – 1992 : Kadi Besar Negeri Pahang.
  7. 1992 – 1997 : Ketua Penolong Pengarah Bahagian Undang-Undang Syariah Jabatan Agama Islam Pahang.
  8. 1998 – Kini : Mufti Negeri Pahang

PENGLIBATAN MASYARAKAT

  • Mengetuai Jabatan Mufti Negeri Pahang
  • Pengerusi Jawatankuasa Perunding Hukum Syarak Negeri Pahang.
  • Penasihat bagi Pentadbiran Hal-ehwal Agama Islam Negeri Pahang.
  • Bertanggungjawab mengeluarkan Fatwa dan menjawab kemusykilan agama.
  • Menasihati KDYMM Sulta Pahang berkenaan semua perkara yang berhubung dengan Hukum Syarak.

KITAB YANG PERNAH DIKARANG / DISUSUN

Buku berjudul “Nafkah Isteri dan Anak-Anak Dalam Islam”


PENGIKTIRAFAN DAN PENGURNIAAN

  • DSAP
  • DIMP 
  • AMP

MANTAN HAKIM MAHKAMAH TINGGI SYARIAH PAHANG

HAJI IDRIS BIN IMAM AWANG

Telah dilahirkan di Kampung Pulau Tawar, Jerantut, Pahang pada 29 Januari 1947. Telah berkahwin pada tahun 1982 dan mempunyai lima orang anak.
Dari segi pendidikan, beliau telah lulus Syahadah Ibtidaiyah Madrasah Al-Attas, Johor Bahru dan lulus Syahadah Sanawiyah Ma’ahad Johor, Johor Bahru. Telah Mendapat Ijazah Sarjana Muda Perundangan Islam dari Universiti Al-Azhar, Mesir. Beliau juga memperolehi Diploma Undang-Undang dan Kehakiman Islam dari Universiti Islam Antarabangsa, Kuala Lumpur.
Mula dilantik sebagai Qadhi Daerah pada tahun 1984 dan telah bertugas sebagai Qadhi di Daerah Bentong, Raub dan Pekan. Beliau ditukarkan ke Bahagian Penguatkuasaan dan Pendakwaan, Jabatan Agama Islam Pahang sebagai Ketua Penolong Pengarah sehinggalah beliau ditawarkan sebagai Hakim Mahkamah Tinggi di Mahkamah Syariah Negeri Pahang.
Dari segi kegiatan sosial pula beliau telah dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Persatuan Kebajikan Pegawai/Kakitangan Hal Ehwal Islam, Jabatan Agama Islam Pahang, Ahli Jawatankuasa PERKIM, Bahagian Negeri Pahang dan telah dipilih sebagai Ketua Biro Dakwah PERKIM Negeri dan menjadi salah seorang tenaga pengajar Majlis Ilmu/ Kulliah Maghrib Masjid Hidayah, Batu 4, Kuantan.

DATO' HAJI MOHD YUSOF BIN AB. GHANI

Dato’ Haji Mohd Yusof bin Ab. Ghani dilahirkan pada 29hb. Disember 1954, di Kg. Sungai Duri,Pekan,Pahang. Mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Kincir, Pekan dan seterusnya menyambung pelajaran di Sekolah Menengah Agama Al-Attas, Pekan serta Kulliah Al-LughahWaddin As-Sultan Abu Bakar Pahang, Pekan. Pada tahun 1975, beliau melanjutkan pelajaran dalam bidang Pengajian Syariah Wal-Qanun di fakulti Syariah Wal-Qanun, Universiti Al-Azhar Kaherah, Mesir seterusnya Berjaya memperolehi Ijazah
Sarjana Muda Syariah. Kemudian pada tahun 1981, beliau menyambung pengajian dalam Diploma Pendidikan di Universiti Malaya, Petaling Jaya.

Beliau telah dilantik sebagai Guru Agama dan Bahasa Arab di Sekolah Menengah Agama Tengku Ampuan Fatimah, Pekan bermula pada tahun 1982. Pad awal 1984 beliau bertukar keKuliah Sultan Abu Bakar, Pekan dan pada pertengahan 1984 bertukar keSekolah Menengah Agama Rompin Namun mulai tahun 1990, beliau telah mengubah haluan dengan memasuki bidang undang-undang dan menerima tawaran sebagai Pegawai Hal Ehwal Agama Islam yang mana dilantik sebagai Qadhi Daerah Maran.

Seterusnya pada tahun 1992, beliau menyambung pula pelajaran di Universiti Islam Antarabangsa dan memperolehi Diploma Undang-Undang dan Pentadbiran Kehakiman Islam (DAIJ). Beliau mula dilantik sebagai Hakim Mahkamah Rendah Syariah Kuantan pada 01hb. November 1996 yang mana meliputi penghakiman bagi daerah Kuantan dan Maran. Padatahun 2005, beliau telah dilantik sebagai Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Pahang Zon 2 (Zon Barat) merangkumi daerah Jerantut, Temerloh, Kuala Lipis dan Cameron Highland dan bertugas di Mahkamah Tinggi Syariah Bentong. Pada tahun 2012, Beliau seterusnya menjadi Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan Zon 1(ZonTimur) merangkumi Daerah Kuantan, Maran, Pekan , Muadzam,danRompin.

Karier beliau sebagai Hakim akhirnya tamatpada 29hb. Disember 2014 yang mana beliau telah bersara dari perkhidmatan awam dengan jawatan terakhir sebagai Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan pada usia 60 tahun. Atas khidmatnya yang cemerlang sebelumini, beliau ditawarkan menyambung kontrak selama setahun lagi sebagai Hakim Mahkamah Tinggi Kuantan dan kontrak tersebut telah tamat pada 29hb.Disember 2015 dan bersara sepenuhnya mulai tahun 2016. Beliau adalah suami kepada Datin Norran binti Ahmad. Mereka telah berkahwin pada 13 November 1983 dan telah dikurniakan 9 orang anak iaitu 6 lelaki dan 3 perempuan. Di atas khidmatnya di Negeri Pahang, maka KDYMM Sultan Pahang telah mengurniakan Darjah Ahli Mahkota Pahang (AMP) pada tahun 1998, Setia Ahmad Shah Pahang (SAP) pada tahun 2013, dan Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Dato’ pada tahun 2014.

HAJI SHARIF @ JAAFAR BIN HAJI DOLAH, AMP

Telah dilahirkan di Kampung Kuala Wau, Maran, Pahang pada 8 April 1944. Telah berkahwin tahun 1973 dan mempunyai tujuh orang anak. Mendapat pendidikan awal di Sekolah Kampung Kuala Wau, Maran sehingga tamat darjah enam. Di sebelah petangnya beliau belajar di Kelas Agama di sekolah yang sama sehingga tamat Kelas III.
Mula belajar di Sekolah Agama Arab Al Khairiyah Temerloh sehingga tamat darjah enam. Beliau telah menyambung pelajaran ke Universiti Al-Azhar, Kaherah, Mesir dan mendapat Ijazah Sarjana Muda dalam jurusan Undang-Undang Syariah (Syaeratul Wal Kanun). Telah mengikuti pengajian di Univerisiti Islam Antarabangsa, Kuala Lumpur dan berjaya memperolehi Undang-Undang Kehakiman Islam. Mula bertugas dalam Perkhidmatan Awam pada 3 Julai 1974 sebagai Qadhi Daerah Maran. Kemudian bertukar ke Daerah Bentong dan Raub di samping memangku sebagai Qadhi Daerah Lipis, Bentong dan Temerloh. Pada 1 April 1987 dinaikkan pangkat ke jawatan Pegawai Hal Ehwal Islam Tingkatan Kanan.
Pada tahun 1990 ditukarkan ke Ibu Pejabat Jabatan Agama Islam Pahang sebagai Penolong Pengarah Kanan Bahagian Dakwah dan pada Disember 1991 bertukar ke Temerloh mengetuai Bahagian Dakwah Zon Pahang, Temerloh.Dari segi kegiatan sosial pula beliau pernah dilantik menjadi Ahli Panel Hakim Mahkamah Ulangbicara Syariah Pahang

YA TUAN HAJI SALEHUDDIN BIN ABDUL MANAF, AMP

Dilahirkan pada 27 September 1964 di Bukit Mertajam Pulau Pinang. Telah berkahwin dengn Norkhapipah binti Mohamad Samsuri pada tahun 1990 dan dikurniakan dua orang cahayamata lelaki. Mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah (J) Kebangsaan Temerloh. Seterusnya menyambung pelajaran menengahnya di Sekolah Menengah Ugama Al-Attas Pekan, sehingga Tingkatan Tiga dan di Sekolah Menengah Sh. Mohd Said Seremban, Negeri Sembilan sehingga peringkat Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia.

Dari sini beliau melanjutkan pelajarannya di Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi dan mendapat Ijazah Sarjana Muda dengan Kepujian dalam jurusan Syariah. Beliau juga telah mengikuti kursus Diploma Pentadbiran Undang-Undang dan Kehakiman Islam di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dengan jayanya.

Mula bertugas dalam Perkhidmatan Awam Negeri pada 17 April 1989 dalam Skim Perkhidmatan Pegawai Hal Ehwal Islam sebagai Penolong Pengarah Bahagian penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP). Selepas perpisahan Mahkamah Syariah dengan Jabatan Agama Islam Pahang, beliau telah dilantik pula sebagai Pendaftar Mahkamah Syariah Negeri Pahang pada 1 Julai 1995 dalam Skim Perkhidmatan Pegawai Syariah. Pada 14 Oktober 1998, beliau telah ditauliahkan sebagai Hakim Mahkamah Rendah Syariah oleh KDYMM Sultan dan di arahkan membantu tugas-tugas Hakim Mahkamah Rendah Syariah Kuantan.

Seterusnya pada 1 Jun 2005 beiau telah dilantik sebagai Hakim Mahkamah Rendah Syariah Bentong sehingga 30 April 2012. Mulai 1 Mei 2012 beliau telah dilantik sebagai Ketua Pendakwa Syarie Negeri Pahang di Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP). Pada 1.11.2016 beliau telah dilantik sebagai Hakim Mahkamah Tinggi Syariah setelah Mendapat Perkenan KDYMM Sultan Pahang dan di arahkan menjalankan tugas sebagai Hakim Mahkamah Tinggi Syariah di Bentong.

Kemudian Beliau telah dinaikkan pangkat sebagai Ketua Pendakwa Syarie di Jabatan Pendakwaan Pahang sehingga kini.

BANGUNAN MAHKAMAH SYARIAH PAHANG